Aku melangkah keluar ke anjung blok. Sengaja ingin ditampar angin lembut, dibiarkan segala rasa, resah, gelisah, gundah, luka dan duka dibawa bersamanya.
Lama jugak memerhatikan gelagat manusia dari anjung blok. Kesesakan lalu lintas menghala masuk ke bazaar ramadhan di taman bendahara.
Pada masa yang sama, otak aku bergerak perlahan, cuba melarut bersama angin sepoi-sepoi bahasa petang. Perlahan mata aku merangkak melihat sekeliling, melihat awan. Dan buat pertama kalinya, aku menghargai keindahan yang aku saksikan. Keindahan ciptaan Allah.
Ketahuilah, aku jarang sekali berada di luar bilik melainkan sesuatu berlaku. Dan tatkala aku menikmati keindahan alam, minda aku masih berkocak. Dengan segala masalah dan tekanan yang diterima dalam masa terdekat. Mungkin ni bukan kali pertama aku berasa tidak aman dan tidak selamat di bilik sendiri.
Dalam keindahan petang yang semakin melayar senja, aku yakin aku bertindak dengan betul. Aku tahu apabila melibatkan hati dan perasaan, salah seorang perlu terguris untuk menyeimbangkan keadaan. Justeru aku memilih untuk diriku terluka lantaran membahagiakan insan lain.
Salah seorang perlu berundur, perlu beransur untuk memastikan keseimbangan itu mampu berlaku. Bukan bermakna untuk melupakan tapi sebagai satu pengajaran.
Angin petang ini sangat indah. Sangat nyaman, sangat dingin, sangat aman. Mengapa jiwa kita tak sedingin dan seaman itu?
Biar hati aku terus dilukai hingga ia berparut dan meninggalkan bekas agar suatu hari nanti, parut itu akan mengingatkan aku tentang pengajaran dan erti hidup yang pernah aku lalui. Aku akan berbangga pernah mengalir darahku daripada luka itu kerana darah itu adalah pengorbanan aku untuk aku pelajari erti sebenar kehidupan itu dan parut itu akan memberi peringatan kepadaku di masa hadapan.
p.s: Aku tiada kekuatan melainkan kekuatan yang diredhai Allah kepadaku, aku tiada kesabaran melainkan kesabaran yang diizin Allah untukku, Aku tiada kemampuan melainkan kemampuan yang dipinjam Allah kepadaku...
0 comments:
Post a Comment