Aku sebenarnya bercadang nak keluarkan tulisan aku yang lagi satu tapi sebab yang tu akan mengambil masa yang lama, jadi aku rasa baik aku tulis yang ni dulu. Jadi untuk korang yang dah tau apa isi blog aku sepatutnya tulis, korang kena bersabar la dulu eh.
Semalam aku pegi tengok filem Storm Warriors kat wayang kat umah aku ni. Nak dikatakan teruja nak tengok, aku sebenarnya baru lepas balik dari kampung aku. Sampai je kat sini, aku terus singgah beli tiket. Sebab mak aku tak nak tengok, aku hantar mak aku balik pastu terus pegi tempat tu balik. Nasib baik dekat dengan umah aku. Aku tengok dengan abang dan kakak aku arr kiranya. Aku tak penah tengok wayang sensorang. Dah sebab aku takde makwe, jadi tengok dengan famili aku la. Huhu.
Storm Warriors ni kalau korang ingat adalah sambungan bagi filem Storm Riders yang pernah keluar satu ketika dahulu. Aku pun tak ingat tahun berapa tapi memang lama dah sebab masa tu aku sekolah rendah lagi. Dulu pagi-pagi aku bangun pukul lapan, mesti aku bukak cd cerita tu tengok. Fuh, punya minat!
Lepas hampir 10 tahun aku agak, Storm Warriors muncul dengan mengekalkan pelakon yang sama untuk watak utama Penjejak Awan dan Penjejak Badai iaitu Aaron Kwok dan Ekin Cheng. Aku harus berlaku adil dengan pandangan aku dan aku rasa kedua-dua diorang ni masih lagi layak memegang watak tersebut walaupun kalau dilihat dengan betul, Ekin Cheng kelihatan agak berusia. Aaron Kwok masih maintain, entah rasanya kot. Tak nampak ada kedutan jelas sangat kat muka dia.
Lagi tambahan, yang buatkan aku lagi minat cerita ni sebab abang-abang aku mengumpul komik-komik Pedang Setiawan. Hah, Pedang Setiawan ni ditulis oleh Ma Wing Shing, menjadi bahan bacaan aku masa kecik-kecik dulu bersama Dewata Raya dan filem ini diadaptasi daripada komik tersebut. Jadi sebab aku dah pernah baca komik ni, nama-nama yang muncul dalam filem seperti Tanpa Nama, Penjejak Awan, Penjejak Badai, Chu Chu, Di Er Meng, Raja Danawa, Raja Iblis Besar, Ateis Jati dan Ateis Kuntum bukanlah satu nama baru. Mudah saja rasanya untuk menangkap jalan ceritanya jika sudah membaca komik tersebut.
Jalan ceritanya sebenarnya sudah diubah sedikit kerana jika diikut dalam komik, serangan Ateis Jati hampir serentak dengan Maharaja Jepun (diubah dalam filem). Jadi mungkin untuk menjimatkan masa, Maharaja Jepun tidak dimasukkan dan keseluruhan cerita difokuskan untuk menentang Ateis Jati. Jika ada yang sudah menonton, Pencarian tulang naga di makam naga merupakan angkara Maharaja Jepun sebenarnya dan bukan Ateis Jati.
Aku tidak kisah pun dengan perubahan cerita sebab masih boleh difahami tapi ada beberapa perkara yang membuatkan filem yang aku tonton tu membuatkan aku berasa terlalu biasa dan bukannya teruja.
Yang pertama sekali, pembunuhan dan serangan Ateis Jati terhadap pahlawan-pahlawan di China dibuat seperti dalam keadaaan komik dan bukannya dalm keadaan realistik. Jika ada di antara anda yang menonton Storm Riders, anda pasti ingat serangan yang dilakukan terhadap perkampungan Penjejak Awan. Ianya dilakukan secara realistik di sebuah perkampungan di sekitar China.
Selain itu, teknik CGI yang agak melampau dilihat di beberapa bahagian. Paling merosakkan cerita apabila perjalanan Ateis Jati dan orang-orangnya menuju ke makam naga nampak dengan jelas dilakukan di hadapan tabir hijau. Segala-gala di sekelilingnya nampak “mati” dan tidak bernyawa. Ini membuatkan mood aku terhadap filem tersebut berkurangan. Jika dahulu menonton Storm Riders, kita dapat melihat serba-serbi dilakukan dengan baik, kini hampir segalanya di hadapan tabir hijau. Aku percaya sangat Negara China banyak tempat-tempat menarik yang sesuai dengan cerita yang ditulis Ma Wing Shing kerana Ma Wing Shing tahu benar dengan negaranya sendiri jadi mengapa tidak dilakukan di tempat tersebut.
Selain itu, pertarungan epik antara Penjejak Awan dan Penjejak Badai tidaklah seepik yang pernah aku baca. Pertarungan yang berlanjutan sehingga beberapa episod di dalam komik, yang penuh dengan emosi dan perasaan, hilang dalam mood yang agak sederhana. Mungkin perubahan dalam filem, iaitu Chu Chu mati dibunuh Penjejak Badai sesuatu yang agak melampau untuk diterima oleh pembaca komik kerana Chu Chu tidak mati dan Di Er Meng sebenarnya cedera parah. Penjejak Awan mula menyerang Penjejak Badai dengan bersungguh-sungguh selepas Di Er Meng diserang kerana menyedari Penjejak Badai sudah hilang kawalan kerana menyerang orang yang dia cintai. Malangnya perubahan ini seperti mahu mengakhiri cerita Pedang Setiawan yang masih panjang. Maaf tapi aku tak dapat terima penutup cerita yang tidak berkesan terutamanya Storm Warriors dilihat lebih teruk daripada Storm Riders.
Selain itu, bermula daripada awal filem lagi, Storm Warriors kelihatan satu generasi atau evolusi baru filem kepahlawanan China. Mungkin bagi orang lain, ia adalah satu perubahan yang baik, tapi bagi aku, aku melihat perubahan ini merupakan satu kemerosotan dalam industri filem kepahlawanan China. Percaya atau tidak aku kata, filem Storm Warriors kelihatan seperti filem Harry Potter dan beberapa filem barat lain melalui teknik kuasanya. Mengapa China? Mengapa barat? Ini adalah aspek yang paling tidak aku gemari. Cerita-cerita kung fu China ada jiwanya tersendiri dan jiwa itu hilang dalam filem Storm Warriors. Serangan Penjejak Awan dalam makam naga terhadap Ateis Jati kelihatan seperti dalam filem Harry Potter dengan kepulan-kepulan awan hitam. Tangan Ateis Jati menyala seperti api dan sebagainya merupakan satu jiwa barat yang kini merasuk filem kung fu China. Sekali lagi, minta maaf aku cakap, kalau ada cerita yang mahu aku kekalkan keadaannya, ianya adalah filem kung fu China. Aku peminat utamanya dan aku mahu ia seperti satu ketika dahulu. Jika ada yang tertanya-tanya bagaimana cerita kung fu China yang ingin aku kekalkan, aku boleh katakan seperti Storm Riders, Legend of Condor Lovers, Supreme Master(ni tahun 2001 pukul 6.00 petang tv3 dulu) dan banyak lagi satu ketika dahulu. Efek kung fu China sedemikian sudah memadai dan mengekalkan identiti dan jiwa Chinanya. Kini kelihatan seperti barat, mengurangkan mood aku untuk menonton cerita tersebut.
Secara keseluruhan aku hanya mampu memberi dua daripada lima untuk filem Storm Warriors. Walaupun aku meminati komiknya, tapi jelas komik memberi beza yang amat ketara berbanding filem terutama sekali apabila segala efeknya diubah menjadi barat dan mungkin, Pang Brothers perlu mula mencari lokasi penggambaran daripada hanya berjalan di hadapan tabir hijau. China terlalu kaya dengan keindahannya terutamanya masih terdapat sungai yang mengalir indah tidak tercemar. Janganlah sia-siakan keindahan tersebut.
Pun begitu, sekurang-kurangnya China mempunyai idea untuk membuat filem walaupun hanya daripada sebuah komik berbanding Malaysia yang hanya bergantung kepada otak pengarah-pengarah yang semakin berkarat dan hanya mencari untung dengan membuat cerita-cerita lawak bodoh. Bukak mata dan sedarlah sikit Malaysia, sedarlah sikit pengarahnya, berjuanglah secara kompetitif bukan dengan lawak bodoh. Agaknya orang Malaysia memandang segala-galany bagai satu lawak dan gurauan. Jika penjajah datang nak bunuh pun, satu gurauan, lepas tu, satu Malaysia mati katak.
P/s : Terbaru, Indonesia menerbitkan filem Merantau Warrior dengan mengetengahkan seni silat dalam filem tersebut. Alangkah lembabnya Malaysia. Negera seberang dah mula dulu mencorak langkah untuk membuat filem persilatan nusantara.
0 comments:
Post a Comment