Monday, July 29, 2013

0 Update V1.01

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Sebelum memulakan post ni, terlebih dahulu, sempena bulan Ramadhan ni, saya akan menggunakan kata ganti nama diri yang lebih sopan dan cuba yang terbaik untuk menulis dgn perasaan aman.


SEBELUM anda meneruskan pembacaan untuk post ni, saya minta anda agar berfikiran terbuka dan bacalah dengan hati dan fikir-fikirkan sebelum menerjah dengan sebarang tohmahan atau sebarang kutukan. Jika anda rasa anda tidak dapat melakukan sedemikian, saya mohon agar seeloknya, anda langsung tidak perlu baca post ini.


Untuk post ni, saya rasa nak tulis panjang dengan memecahkan kepada beberapa bahagian.


1.00 Iklan TV

Ish tetiba pulak sebut pasal iklan tv ye. pelik benar. Kebelakangan ini kita mendengar betapa kekejaman syiah telah semakin melampaui batasan. Kita juga dikejutkan dengan jumlah ahli syiah yang muncul di negara ini. Untuk meningkatkan kesedaran, kelihatan rancangan2 agama di tv sudah mula untuk mengupas isu mengenai syiah.


Alhamdulillah, usaha yang baik. Cumanya ada yang tak kena bagi saya ketika iklan rancangan tersebut disiarkan. Iklan menunjukkan visual perbuatan syiah yang sememangnya bertentangan dgn pegangan dan amalan ahli sunnah wal jamaah. Bagi saya ini bukan satu masalah. Masalah di sini ialah audio tersebut. Dalam usaha kita untuk menghalang semakin tersebarnya syiah di negara kita, haruslah rasanya perkara sekecil ini pun kita harus ambil kisah.


Apa kena mengena audio iklan tersebut dgn apa yg terjadi? Banyak kali jugak iklan tersebut tersiar tambah2 saya menggunakan laptop saya di ruang tamu berdekatan dengan tv jadi walaupun tidak menonton, saya masih mendengar audio daripada tv. Masalah di sini, audio yang digunakan adalah salah satu, mungkin saya boleh katakan chant dalam bahasa inggerisnya, salah satu chant yg mereka gunakan dalam puji-pujian mereka ketika hari asyura.


Walaupun kelihatan tidak bermasalah, akan tetapi jika kita selalu mendengar, percayalah, sedikit demi sedikit, audio tersebut mampu terpacul dalam kotak pemikiran kita. Bukan semua antara kita yang punya iman yang utuh utk membentengi perkara seperti ini. Justeru saya kira adalah wajar agar "chant" itu tidak dimasukkan di dalam iklan.


Bagi mereka yang tidak mengetahui apa itu syiah, anda boleh dengar penerangan secara ringkas oleh tuan guru haji hadi mengenai syiah di sini: https://www.facebook.com/photo.php?v=673524502664755


Ketepikan fahaman politik anda jika anda mahu mendengar. Ingat, ulama adalah pewaris nabi dan rasul.



1.01 Hina Islam?


Baca tajuk kecik rasanya dah boleh tahu apa yang akan saya bincangkan. Kita digoncang dengan gambar yang di"upload" oleh blogger seks yang menunjukkan penghinaan terhadap Islam dengan memuat naik gambar selamat berbuka puasa dengan bak kut teh (umumnya diketahui adalah daging khinzir). Seluruh Malaysia gempar, melompat, menyerang, tohmahan semuanya keluar.


Saya pasti semua orang marah. Saya turut sama tapi bukan cara kita untuk membalas perbuatan mereka dengan membuat tohmahan dan sebagainya. Mengapa kita yang terdidik dengan cara Islam, menjatuhkan maruah diri kita yang cukup bernilai untuk menghina dan mencaci mereka? Bukankah yang diajar kepada kita bukanlah perkara seperti ini?


Hasil daripada perbuatan mereka, menurut apa yang dilaporkan adalah denda RM50,000. Sebenarnya, saya punya pemikiran yang lain. Bagi saya, sekalipun mereka menghina Islam, mereka bukanlah umat Islam dan mereka mungkin tidak mengetahui secara jelas tentang perkara seperti ini.


Bagi saya, umat Islam itu sendirilah yang menghina Islam. Penghinaan yang cukup jelas boleh disenaraikan:
1. Tidak menutup aurat dengan sempura
- Ini adalah penghinaan terhadap hukum Allah tatkala jelas Allah sebut dalam Al-Quran bahawa lelaki dan wanita yang beriman harus menutup aurat.

2. Memegang mereka yang bukan mahram tanpa berlapik, tanpa segan silu
- Dalam sebuah hadis riwayat Al-Baihaqi dan At-Tabrani, Nabi S.A.W. bersabda, "sesungguhnya kepala yang ditusuk besi panas itu lebih baik daripada memegang lelaki/perempuan yang bukan mahram". Nah, berapa banyak yang menghina ini?

3. Tidak solat fardhu & puasa di bulan ramadhan
- Dalam Al-Quran, jelas Allah menyebut "... tunaikanlah solat ..." dan Allah juga menyebut telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana orang yang terdahulu daripada kamu. Justeru siapa yang menghina sekarang?


Ini baru tiga, saya pasti masih banyak lagi. Tapi inilah yang jelas kelihatan sekarang. Saya lihat kepanasan yang dicetuskan oleh 2 orang yang menghina ramadhan tersebut masih bertahan sehinggakan penghinaan yang dilakukan oleh 4 orang wanita muslim yang menyertai pertandingan ratu cantik, tidak menerima kepanasan yang serupa.


Aneh, sungguh aneh. Hairan, sungguh hairan. Apakah penghinaan terhadap ramadhan yang dilakukan oleh mereka yang bukan Islam yang tidak mengetahui secara jelas hukum hakam Islam itu lebih teruk daripada mereka yang Islam, yang jika pergi ke sekolah sampai tingkatan 5, InsyaAllah, menerima ilmu agama yang cukup untuk tahu bahawa haram untuk menyertai pertandingan sedemikian, mendedahkan aurat secara berleluasa seperti itu?


Seharusnya, umat Islam Malaysia harus lebih peka dengan perkara seperti ini. Jangan disangka mereka yang bukan Islam menghina Islam itu berdosa besar, kurang ajar dan sebagainya, tetapi umat Islam yang menghina Islam itu tidak mengapa. Jangan sekali-kali.


Lebih aneh dan menghairankan, menurut berita kat tv, jika mereka yang menyertai pertandingan ratu cantik itu meneruskan perbuatan mereka, mereka boleh didakwa penjara 2 tahun atau RM3,000 denda atau kedua-duanya sekali. Hairan, hairan dan hairan.


Ini juga, penghinaan terhadap hukum Islam, penghinaan terhadap agama, penghinaan terhadap Allah S.W.T.. Ini lebih berat kerana betapa mereka yang sedia muslim melakukan penghinaan sebegini tetapi didenda RM3,000 tetapi orang bukan Islam yang mungkin tidak mengetahui hukum hakam tetapi didenda RM50,000 dan dikatakan kurang ajar dan macam-macam lagi.


Lebih aneh dan menghairankan, masa penghinaan yang dilakukan oleh 2 orang blogger tersebut, berita itu laju menjadi sari berita utama. Tetapi, malangnya, perkara ini tidak pula saya nampak menjadi berita utama. Tak nampak langsung jadi berita utama utk tv jam 8 malam. Hairan dan hairan.


Allah S.W.T. telah bersabda dalam Al-Quran yang menyebut, "dan masuklah kamu ke dalam Islam secara seluruhnya.." Saya mohon agar saudara semuslim saya di Malaysia, lebih peka mengenai perkara sebegini dan janganlah biar Islam sekadar atas nama sahaja. InsyaAllah sama-sama kita dekatkan diri kepada Allah dan mempelajari Islam dengan lebih mendalam agar kita tidak mudah terumbang-ambing dengan arus dunia. Ayuh amalkan doa Ya muqallibal qulub, tsabbit qalbi 'ala dinik, wa'ala tho'atik. Wallahualam.



1.02 Salah Siapa?


Saya jenis yang suka berdiskusi. Bukan berdebat, tetapi berdiskusi, bertukar pendapat mengenai isu2 tertentu. Baru-baru ni saya berdiskusi dengan seorang rakan. Diskusi tersebut mengenai showcase penyanyi korea Kim Jong Kook yang berlangsung di Malaysia pada awal Jun yang lepas.


Selepas showcase tersebut, seorang sahabat share di wall beliau satu penulisan oleh seorang, yang saya tidak pasti siapa. Isi kandungan penulisan tersebut secara ringkasnya menyebut, jika dia mempunyai nombor telefon kjk, dia mahu menguatkan iman dan memberitahu kjk supaya jangan datang ke Malaysia, kerana kehadiran beliau ke Malaysia telah merosakkan saudara-saudara muslimah yang lain. Ada yang menjerit dan ada juga yang bertepuk tangan dengan kjk. Dia mengharapkan agar satu hari jika kjk melihat seorang muslimah dan berharap kjk akan berkata, anda seorang muslim, ok, kita harus menjarakkan diri kita.


pertamanya, Alhamdulillah, satu niat yang cukup murni dan mulia. Bukan mudah untuk kita menguatkan tekad dan bukan mudah untuk kita merasakan betapa hati kita hancur disebabkan melihat saudara muslim kita melakukan dosa. Tambah-tambah perkara sebegini semakin dirasakan sebati dan biasa oleh ramai umat islam.


Saya merasakan cukup bagus niat dan tekad sedemikian, syabas dan bukan mudah untuk menulis dengan idea sebegini. Namun bagi saya, kita sebagai umat Islam harus lebih realistik dalam cuba menyampaikan dakwah Islam. Idea untuk mendapatkan nombor telefon KJK adalah satu yang tidak realistik. Kerana kita sendiri sedia maklum bukan mudah untuk mendapatkan nombor telefon artis, jangankan artis di Malaysia, inikan pula luar negara.


Namun, secara realistiknya, apa yang boleh kita lakukan adalah menyampaikan dan menguatkan dakwah Islam dalam kalangan masyarakat kita. Bagi saya, seharusnya, kita sebagai umat Islam harus menguatkan iman kita untuk tidak melampaui batas. Seharusnya kitalah yang membentengi diri kita. Peringatan itu harus disampaikan kepada umat Islam agar lebih memahami batasan-batasan dalam agama.


Beginilah, jika ada antara mereka yang tidak memahami apa yang saya cuba sampaikan. Saya melihat isu ini seperti ini. Masalah ummah ini ibarat immuniti badan kita. Jika immuniti badan kita lemah, kita mudah dijangkiti penyakit. Kita sedia maklum, kuman ada banyak. Kita tidak mampu menghalang kuman-kuman itu datang kepada kita. Kuman-kuman sentiasa ada. Apa yang perlu kita lakukan adalah menguatkan imuniti badan kita.


Kim jong kook datang malaysia, justin bieber dtg malaysia, media sosial dan macam-macam lagi adalah ibarat kuman-kuman tersebut. Jika imuniti kita lemah, kita akan mudah dijangkiti penyakit-penyakit ini. Jadi apa harus kita lakukan? Kalau macam kat tv, dettol dan lifebouy untuk menghalang kuman-kuman dan membunuh kuman-kuman. Selain itu terdapat juga proses imunisasi melalui suntikan untuk menghalang kuman daripada menjangkiti kita.


Jadi kalau imuniti dari segi iman, lifebouy dan dettol  boleh diibaratkan amalan mendekatkan diri dengan Allah, pelajari ilmu agama dengan lebih, agar imuniti badan kita lebih kuat dan tidak dijangkiti penyakit-penyakit sebegini. Imunisasi dan vaksinasi melalui suntikan boleh diibaratkan dengan majlis-majlis ilmu yang sentiasa memberi peringatan dan suntikan ilmu kepada kita untuk menangkis penyakit-penyakit ummah.



1.04 Penutup


Rasanya kita umat Islam di Malaysia lebih suka menuding silap kepada orang lain apabila berlaku masalah dalam keruntuhan akhlak ummah. Rasanya sudah tiba masanya kita muhasabah diri kita.



P.S: Ya Allah, betapa lemahnya hambaMu ini kerana aku tidak mampu membimbing dan menyampaikan pengetahuan agama terhadap saudara-saudara seagamaku yang lain. Ampunkan aku kerana kelalaianku dalam mengingatkan saudara-saudara seagamaku dalam mengingatiMu dan mentaati suruhanMu.
 

:: Bila Angin Berbicara :: Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates